tadi time solat isyak jadi lagi! tiba tiba je aku susah nak nafas, rasa berdebar debar, jantung berdegup laju, lepas tue rasa macam kat dalam dada ada pressure! masuk malam nie da kali ke-3 ke ke-4 da jadi camnie! after kejadian pertama, aku sesak nafas bila aku nangis! tapi malam nie tak nangis pon da semput macam hape je... :( pernah before nie google sindrom sindrom nie...mengikut ape yang aku jumpe maybe sebab stress...huhuhuhu....
now tak puas ati..aku google lagi....then aku jumpe nie...sindrom yang aku alami semua cam sama je...nama penyakit tue Fibrilasi Atrium atau singkatannya AF....
RASA berdebar-debar yang tidak menentu, degupan jantung kadangkala menjadi pantas, sukar bernafas dan seolah-olah ada tekanan dalam dada. Ini antara petanda utama masalah degupan jantung yang tidak normal atau dalam istilah perubatan dipanggil fibrilasi atrium (AF).
Berbanding wanita, lelaki mempunyai risiko lebih tinggi mengalami masalah ini. Jika dulu ia sering dikaitkan dengan warga tua, kini keadaan berubah kerana ia juga berlaku pada golongan muda berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun, tidak merokok dan rajin bersenam!
Masalah terjadi apabila degupan jantung atas tidak sekata dengan jantung bawah. Jantung manusia mempunyai empat ruang atau bilik – dua di atas (dipanggil atrium kanan dan kiri) dan dua di bawah iaitu ventrikal kanan dan kiri.
Apabila jantung berfungsi dengan betul, darah yang kaya dengan oksigen dipam daripada atrium kiri dan ventrikal kiri ke seluruh bahagian tubuh. Manakala atrium kanan dan ventrikal kanan pula mengepam darah semula ke paru-paru untuk diisi dengan oksigen.
Untuk mengepam darah, jantung perlu mengecut dan berehat dalam rentak yang sekata. Aktiviti pengecutan dan rehat ini dikawal oleh rangsangan elektrik dari nodular sinoatrium yang terletak dalam atrium kanan. Ini adalah ‘pacemaker’ semula jadi jantung yang mencetuskan impuls bagi memulakan setiap degupan jantung.
Rangsangan elektrik ini dikeluarkan oleh satu bahagian dalam atrium kanan (bilik atas kanan) yang dikenali sebagai nodular sinoatrium. Ia penting untuk membolehkan jantung berdenyut dengan normal.
AF adalah masalah berkaitan rangsangan elektrik yang berfungsi secara semula jadi di jantung. Kegagalan fungsi impuls elektrik itu menyebabkan degupan ruang atas dan bawah jantung menjadi tidak seragam.
Dalam kes AF, bilik atas jantung (atrium) menerima rangsangan elektrik yang tidak menentu. Akibatnya ia bergetar. Pada masa sama bilik bawah jantung (ventikal) juga berdegup cepat tetapi tidak sepantas atrium.
Pakar Elektrofisiologi Institut Jantung Negara (IJN), Dr Razali Omar, berkata antara petanda utama FA adalah degupan jantung bergerak pantas, sukar bernafas, berdebar-debar dan berasa seolah-olah ada tekanan dalam dada. Bagaimanapun, ada juga individu yang tidak berdepan petanda seperti itu turut mengalami FA.
“Punca sebenar kepada masalah AF seperti ini tidak diketahui dan sehingga hari ini ia masih dikaji pakar perubatan di seluruh dunia. Ada masalah AF hadir sendiri.
“Namun ada beberapa masalah kesihatan seperti serangan jantung mampu merangsang AF. Berdasarkan kajian, 20 peratus daripada individu AF tidak menyedari mereka mengalami masalah degupan jantung yang tidak menentu atau tidak normal,” katanya.
Punca paling lazim ialah kerosakan pada struktur jantung, termasuk injap. Bagaimanapun, ada kes AF yang tidak mempunyai masalah kesihatan. Antara punca lain yang mungkin menyebabkan AF ialah:
# Tekanan darah tinggi
# Serangan jantung
# Keadaan injap jantung yang tidak normal
# Kecacatan jantung kongenital (sejak lahir)
# Kelenjar tiroid yang terlalu aktif atau ketidakseimbangan metabolik yang lain
# Pendedahan kepada rangsangan seperti ubat, kafein, alkohol dan tembakau
# Apnea tidur (nafas terhenti ketika tidur)
Menurut Dr Razali, walaupun kebanyakan kes AF tidak membawa maut, ia tidak harus dipandang ringan kerana yang membimbangkan adalah komplikasinya kerana individu yang mengalami masalah ini berisiko tinggi untuk sampai ke tahap strok.
Pada masa sama AF memberi kesan terhadap keupayaan jantung sehingga mengakibatkan aliran darah berkurangan. Sebahagian darah mungkin tertinggal dan bertakung di dalam atrium dan membentuk darah beku.
“Darah beku akibat AF mungkin terpecah dan bergerak ke otak, sekali gus menyebabkan strok. Ada pesakit dikesan mengalami masalah AF selepas kena strok,” katanya.
Dr Razali yang juga Pakar Runding Kardiologi berkata, lelaki lebih ramai berdepan masalah AF dan yang mengejutkan, kini ia banyak berlaku kepada individu berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun.
“Senario masalah ini berubah sejak 15 tahun lalu. Jika dulu ia sering dikaitkan dengan warga tua, kini ia berubah kepada generasi muda yang cergas, malah ada yang tidak merokok serta rajin bersenam terpaksa menerima hakikat berdepan masalah FA.
“Kami pernah menerima pesakit AF semuda 14 tahun. Bagaimanapun, kebanyakan generasi muda yang mengalami FA berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun,” katanya.
Rawatan
Dr Razali berkata, individu yang ada masalah AF pada peringkat awal dirawat menggunakan ubat-ubatan. Biasanya dua ubat diberi, iaitu ubat mengawal degupan dan mengawal strok.
Rawatan menggunakan ubat-ubatan tidak mampu memulihkan sepenuhnya AF. Ia hanya mampu mengawal 60 hingga 65 peratus masalah itu. Pesakit pula akan terus bergantung sepenuhnya kepada ubat seumur hidup,” katanya
Menurut Dr Razali, individu yang ada masalah AF tidak perlu bimbang kerana masih ada harapan untuk mereka.
Katanya, IJN ada kepakaran melakukan pembedahan untuk merawat AF menggunakan kaedah ablasi (prosedur memusnahkan tisu di satu-satu kawasan) kateter. Di IJN, pembedahan ini dipelopori sepasukan pakar Elektrofisiologi termasuk Dr Razali dan Dr Azlan Hussin.
“IJN sebenarnya ada kepakaran untuk melakukan pembedahan itu sejak 1999. Bagaimanapun kini kami menggunakan teknologi lebih canggih dan antara yang pertama di Asia selain Hong Kong.
“Kami menggunakan tiub kateter lebih inovatif yang mampu memusnahkan secara serentak kawasan otot jantung bermasalah yang menyebabkan berlakunya AF. Berbanding tiub kateter sebelum ini, ia perlu dilakukan satu demi satu dan memakan masa lama.
“Penggunaan teknologi itu hanya memakan masa dua jam berbanding lima atau enam jam sebelum itu. Malah pesakit juga tidak perlu ada di hospital untuk tempoh lama. Hari ini bedah, esok boleh pulang,” katanya.
Pembedahan membabitkan prosedur memasukkan kateter ke jantung melalui kemasukan kecil pada vena (pembuluh darah yang membawa darah ke jantung). Ia dimasukkan ke vena melalui kaki.
Di hujung tiub kateter ada elektrod yang menghantar gelombang radio bagi menghasilkan tenaga frekuensi radio. Tenaga itu memusnahkan tisu jantung yang menyebabkan berlakunya AF.
Sebelum ini prosedur itu memakan masa sehingga lima jam kerana ia memerlukan pakar bedah menjelajah dan melakukan ablasi atrium kanan dengan menggunakan satu kateter elektrod yang sebenarnya direka untuk atrium kiri.
Ia juga perlu dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelak terkena struktur organ berdekatan seperti saluran makanan (esofagus).
Namun, kini dengan penggunaan teknologi kateter yang lebih inovatif, tiub kateter sampai ke vena pulmonari dan dapat mengasingkan secara elektronik vena pulmonari daripada atrial kanan dengan pantas dan selamat, malah elektrod boleh dihidupkan serentak untuk satu bulatan kateter. Justeru, pembedahan berkenaan dapat dilakukan hanya dalam tempoh dua jam.
Dalam pada itu, untuk mengesan AF, seseorang itu boleh melakukan Elektrokardiogram (ECG) — ini ujian untuk menganalisis pengaliran elektrik dalam jantung. Ada beberapa keadaan dan rentak jantung boleh dikesan melalui ujian ECG.
Selain itu, kaedah transesophageal echocardiogram (TEE) juga boleh digunakan. Ia membabitkan kaedah satu alatan imbasan ultra bunyi dimasukkan ke dalam saluran esofagus, mendekati jantung supaya memperoleh keputusan lebih tepat berbanding ekokardiogram tradisional yang hanya menggunakan alatan imbasan bunyi pada bahagian luar dada.
Meskipun ia boleh berlaku pada individu yang aktif bersukan, ia bukan bererti kita perlu berhenti bersenam. Beberapa perkara boleh dilakukan untuk mengelak masalah ini berulang dengan membuat sedikit perubahan gaya hidup.
Antara yang disaran ialah mengurangkan pengambilan kafein dan alkohol yang boleh merangsang jantung dan episod degupan jantung tidak normal. Pada masa sama berhati-hati apabila mahu makan ubat yang dibeli dari farmasi. Sebaik-baiknya dapatkan nasihat doktor terlebih dulu kerana sesetengah jenis ubat mengandungi bahan yang boleh merangsang AF.
nauzubillah..mintak dijauhkan aku dari penyakit nie....huhuhuhu.....
x o x o
da takut nak jumpe doctor! T___T
ok! BYE!
No comments:
Post a Comment